Maksud Khalifah
Menurut Haji Dusuki Haji Ahmad, 1983, perkataan Khalifah atau khalifat (tunggal) atau Khulafa' bermaksud pengganti iaitu pengganti Rasulullah SAW. Kemudiannya ia digunakan untuk jawatan ketua umum dalam pentadbiran hal ehwal dunia dan agama menggantikan Rasulullah SAW. Kedudukan dan taraf khalifah dari segi kuasanya adalah setaraf dengan Rasulullah SAW dan setiap orang wajib mentaatinya.
Khulafa' Ar-Rasyidin
Khulafa' Ar-Rasyidin ialah gelaran yang diberikan kepada empat orang khalifah selepas kewafatan Rasulullah SAW. Empat orang khalifah tersebut adalah :
- Abu Bakar as-Siddiq
- Umar al-Khattab
- Uthman bin Affan
- Ali Bin Abi Talib
Mereka berempat digelar Khulafa' Ar-Rasyidin kerana memerintah mengikut cara nabi Muhammad SAW dalam setiap aspek pemerintahan. Mereka telah memerintah selama 29 tahun bermula tahun 11H (632M) hingga 40H (661M). Masing-masing mempunyai keperibadian dan cara perlantikan sebagai khalifah yang berbeza.
Tamadun Islam Pada Zaman Khulafa' Ar-Rayidin
Tamadun Islam pada zaman Khulafa Ar-Rasyidin banyak memberikan sumbangan besar di dalam perkembangan Islam di seluruh dunia dan menjaga kehormatan serta keagungan agama Islam di mata dunia. Tamadun Islam pada zaman Khulafa Ar-Rasyidin sememangnya amat digeruni oleh tamadun-tamadun lain seperti Rom dan Parsi kerana kekuatan dan keteguhan syiar Islam semasa waktu itu. Zaman Khulafa Ar-Rasyidin berkembang dengan cara yang berbeza dan sumbangan yang berbeza daripada setiap khalifah yang memerintah pada masa tertentu pada zaman pemerintahan mereka. Corak kepimpinan dan pentadbiran yang digunapakai merupakan adil dan saksama terhadap semua kaum pada zaman itu dan rakyat dapat hidup dengan aman dan tenteram.