Abu Bakar As-Siddiq merupakan salah seorang Khulafa' Ar-Rasyidin daripada empat orang khalifah. Beliau juga adalah orang yang paling awal memeluk agama Islam (assabiqunal awwalun), dan juga merupakan sahabat kepada Rasullullah Saw. Beliau dilahirkan pada tahun yang sama kelahiran Nabi Muhammad Saw. iaitu pada 572 Masihi di Mekah. Khalifah Abu Bakar berasal dari keturunan Bani Taim, suku Quraisy. Nama asalnya adalah Abdullah Ibni Abi Quhaafah. Berdasarkan beberapa sejarawan Islam, beliau pernah menjadi seorang pedagang, hakim dengan kedudukan tinggi, seorang yang terpelajar serta dipercayai sebagai orang yang mampu menafsirkan mimpi.
Khalifah Saidina Abu Bakar mempunyai anak bernama Aisyah yang juga merupakan isteri Nabi Muhammad SAW. Beliau diberi gelaran As-Siddiq oleh Nabi Muhammad SAW kerana setiap kata-katanya adalah benar dan boleh dipercayai. Menjadi antara orang yang pertama memeluk Islam, banyak cubaan dan dugaan yang dilaluinya namun beliau tetap setia menemani dan bersama Rasulullah SAW menjadi satu-satunya teman hijrah ke Madinah pada 622 Masihi.
Semasa Rasulullah SAW
sedang sakit tenat, baginda mengarahkan supaya Saidina Abu Bakar mengimamkan
solat orang Islam. Selepas kewafatan Nabi Muhammad SAW, sebuah majlis iaitu Majlis Musyawarah yang dihadiri oleh golongan Ansar dan
Muhajirin ditubuhkan
untuk melantik seorang khalifah bagi memimpin umat Islam. Hasil daripada
perjumpaan itu, Saidina Abu Bakar dilantik dan menjadi khalifah pertama umat
Islam. Perlantikan Saidina Abu Bakar mendapat tentangan daripada beberapa
orang yang ingin melantik Saidina Ali Abi Talib sebagai khalifah kerana Saidina
Ali merupakan menantu dan anak saudara Rasulullah SAW. Golongan Syiah yang
merupakan golongan daripada keluarga Bani Hashim menentang perlantikan Saidina
Abu Bakar. Tentangan itu tamat selepas Ali bin Abi Thalib menyatakan bahawa beliau setia dan mendukung
Saidina Abu Bakar sebagai khalifah.
Beliau menjadi khalifah selama 2 tahun iaitu pada 632-634 Masihi. Saidina Abu Bakar meninggal dunia pada tanggal 23 Ogos 634 di Madinah. Beliau dimakamkan di samping makam Rasullullah Saw. Seterusnya posisi khalifah digantikan oleh Umar bin Khatab. Beliau pernah menjadi kaya, beliau juga dikenang jasanya kerana membebaskan beberapa hamba yang beragama Islam daripada tuan mereka yang kafir termasuklah Bilal Bin Raabah.