Nama penuh Saidina Uthman ialah Uthman Bin Affan Bin Abu Al-As Bin Ummayah Bin Abdu Syams Bin Abdu Manaf Bin Qusai. Beliau dilahirkan setelah 5 tahun kelahiran Nabi iaitu pada 576 M di Mekah al-Mukarramah dan memeluk Islam melalui Saidina Abu Bakar. Saidina Uthman dilantik menjadi khalifah ketiga pada 644 M bersamaan 23 H melalui Majlis Syura di mana Saidina Umar telah mencalonkan beberapa orang sahabat sebagai khalifah dan pemilihan sahabat yang paling layak adalah ditentukan oleh Majlis Syura. Para sahabat telah membuat pertimbangan di antara Saidina Ali dan Saidina Uthman dan akhirnya Saidina Uthman telah dipilih sebagai khalifah.
Pelantikan Saidina Uthman dibuat berdasarkan faktor usia yang lebih tua, kesanggupan Saidina Uthman sendiri untuk menerima jawatan khalifah dan juga kerana sahabat tidak mahu meneruskan jawatan khalifah daripada keturunan Bani Hashim bagi mengelakkan jawatan khalifah dianggap bersifat warisan keturunan.
Saidina Uthman telah memerintah selama 12 tahun. 6 tahun pertama pemerintahannya, negara berada dalam keadaan aman tetapi 6 tahun kemudiannya adalah zaman yang penuh dengan masalah dan penentangan terhadap pemerintahannya. Beliau telah wafat akibat dibunuh oleh puak pemberontak yang diketuai oleh al-Asytar pada 18 Zulhijjah tahun 35 H. Mereka telah mengepung rumahnya selama kira-kira 40 hari. Pada ketika itu Saidina Uthman berusia 82 tahun. Jenazahnya telah dimakankan di perkuburan al-Baqi'. Madinah.