ﷺ Khulafa Ar-Rasyidin

Maksud Khalifah
Menurut Haji Dusuki Haji Ahmad, 1983, perkataan Khalifah atau khalifat (tunggal) atau Khulafa' bermaksud pengganti iaitu pengganti Rasulullah SAW. Kemudiannya ia digunakan untuk jawatan ketua umum dalam pentadbiran hal ehwal dunia dan agama menggantikan Rasulullah SAW. Kedudukan dan taraf khalifah dari segi kuasanya adalah setaraf dengan Rasulullah SAW dan setiap orang wajib mentaatinya.

Khulafa' Ar-Rasyidin
Khulafa' Ar-Rasyidin ialah gelaran yang diberikan kepada empat orang khalifah selepas kewafatan Rasulullah SAW. Empat orang khalifah tersebut adalah :
  1. Abu Bakar as-Siddiq
  2. Umar al-Khattab
  3. Uthman bin Affan
  4. Ali Bin Abi Talib


Mereka berempat digelar Khulafa' Ar-Rasyidin kerana memerintah mengikut cara nabi Muhammad SAW dalam setiap aspek pemerintahan. Mereka telah memerintah selama 29 tahun bermula tahun 11H (632M) hingga 40H (661M). Masing-masing mempunyai keperibadian dan cara perlantikan sebagai khalifah yang berbeza.

Tamadun Islam Pada Zaman Khulafa' Ar-Rayidin
Tamadun Islam pada zaman Khulafa Ar-Rasyidin banyak memberikan sumbangan besar di dalam perkembangan Islam di seluruh dunia dan menjaga kehormatan serta keagungan agama Islam di mata dunia. Tamadun Islam pada zaman Khulafa Ar-Rasyidin sememangnya amat digeruni oleh tamadun-tamadun lain seperti Rom dan Parsi kerana kekuatan dan keteguhan syiar Islam semasa waktu itu. Zaman Khulafa Ar-Rasyidin berkembang dengan cara yang berbeza dan sumbangan yang berbeza daripada setiap khalifah yang memerintah pada masa tertentu pada zaman pemerintahan mereka. Corak kepimpinan dan pentadbiran yang digunapakai merupakan adil dan saksama terhadap semua kaum pada zaman itu dan rakyat dapat hidup dengan aman dan tenteram.

Perkembangan Islam pada Zaman Khulafa' Ar-Rasyidin

SUMBANGAN ABU BAKAR


Sepanjang menjawat jawatan khalifah terdapat beberapa sumbangan yang telah diberikan oleh Khalifah pertama ini. Antaranya ialah:

(a)    Mengasaskan institusi kekhalifahan.

Rasulullah SAW tidak menyatakan dengan jelas siapa khalifah yang akan menggantikan baginda selepas baginda wafat. Oleh itu, pemilihan Saidina Abu Bakar adalah berdasarkan cadangan daripada Saidina Umar al-Khattab dan hasil perbincangan sahabat-sahabat besar dari kalangan Muhajirin dan Ansar di Saqifah Bani Sa’edah.

Selepas selesai perbincangan di antara sahabat-sahabat besar di kalangan Muhajirin dan Ansar, bai’ ah kepada Saidina Abu Bakar telah diadakan. Inilah bai’ah pertama kepada Saidina Abu Bakar iaitu bai’ah golongan pembesar sahabat dari kalangan Muhajirin dan Ansar. Bai’ah ini kemudiannya diikuti oleh bai’ah umat Islam di masjid. Ini menunjukkan bahawa yang membuat pemilihan khalifah ialah mereka yang dimuliakan di kalangan para ulama’ dan para pemimpin yang dinamakan sebagai ‘ahli halli wal aqdi’ dan pemilihan khalifah tidak disyaratkan persetujuan keseluruhan umat Islam.                                                                                                                                                                       
(b)   Memerangi golongan murtad, mani’ al-zakat dan nabi palsu.

Khalifah Abu Bakar telah membawa beberapa sumbangan penting dalam pentadbiran Kerajaan Islam Madinah. Tugasan pertama selepas perlantikannya sebagai khalifah ialah memerangi Gerakan ar-Riddah iaitu gerakan anti kerajaan Islam yang terdiri daripada golongan murtad, Mani’al-Zakat(enggan membayar zakat) dan nabi palsu. Golongan murtad terdiri daripada dua golongan iaitu murtad terus keluar daripada agama Islam dan murtad kerana enggan membayar zakat(mani’al-zakat). Golongan murtad yang keluar daripada agama Islam ada yang menjadi pengikut Musailamah al-Kazzab, Tulaihah al-Asadi dan Al-Aswad Al-Anasi yang masing-masing mendakwa diri menjadi nabi da nada pula yang mengikut orang munafikin yang berpura-pura menyatakan keislaman mereka kepada Rasulullah SAW tetapi hati mereka sebenarnya belum menerima Islam.

Pengikut-pengikut nabi palsu juga kebanyakannya mempunyai kepentingan yang lebih bersifat ‘asabiah di mana mereka tidak mahu tunduk kepada pemerintahan Saidina Abu Bakar daripada kaum Quraisy yang dikatakan cuba memonopoli kekuasaan di tanah arab. Walaupun mereka tahu kepalsuan nabi-nabi tersebut tetapi mereka tetap menjadi pengikut untuk mendapatkan sokongan dan kekuatan melawan kaum Quraisy.

Golongan yang enggan membayar zakat(mani’al-zakat) pula terdiri daripada mereka yang telah membayar zakat pada zaman Rasulullah SAW tetapi selepas kewafatan Rasulullah SAW mereka enggan membayar zakat kerana kedegilan mereka dan juga kerana kesilapan dalam mentafsir al-Qur’an di mana mereka beranggapan bahawa zakat adalah cukai yang dikenakan oleh Rasulullah SAW untuk membersihkan dosa pembayar zakat sedangkan para sahabat tidak boleh menghapuskan dosa tersebut.

Saidina Abu Bakar terpaksa menghadapi banyak tentangan pada masa yang sama tetapi dengan ketegasan dan kepimpinan beliau yang cemerlang akhirnya Gerakan ar-Riddah ini berjaya ditangani.

(c)    Memulakan Gerakan Pengumpulan Al-Qur’an.

Di antara sumbangan Khalifah Abu Bakar yang terbesar ialah usaha beliau untuk mengumpul tulisan al-Qur’an dan menyalinnya semula. Idea pengumpulan al-Qur’an ini dikemukakan oleh Saidina Umar kepada Saidina Abu Bakar setelah melihat lebih daripada 70 orang penghafaz al-Qur’an yang syahid dalam gerakan memerangi orang-orang murtad pengikut Musailamah al-Kazzab di Yamamah. Tugas pengumpulan ayat-ayat al-Qur’an ini telah dipertanggungjawabkan kepada Zaid bin Thabit. Beliau telah mengumpul ayat-ayat al-Qur’an yang ditulis di atas kepingan-kepingan tulang, kepingan pelepah kurma, kepingan tanah liat serta hafazan para sahabat dan menulisnya semula ke dalam beberapa jilid lembaran.
                                                                                                                                                   
(d)   Pembahagian wilayah.

Khalifah Abu Bakar telah membahagikan negara Islam kepada 10 buah wilayah, iaitu Makkah, Taif, Yaman, Hadhramaut, Khalwan, Zabid, al-Janad, Najran, Jarsh dan Bahrain. Di setiap wilayah, dilantik seorang gabenor.


Dari aspek ketenteraan dan pertahanan, Khalifah Abu Bakar telah menghantar angkatan tentera Islam yang diketuai oleh Khalid al-Walid ke Iraq untuk menentang tentera Parsi dan Usamah bin Zaid ke Ghassan untuk memerangi tentera Rom. Kedua-dua ekpedisi ini telah mencapai kejayaan.

------------------------------------

KEMAJUAN TAMADUN DI ZAMAN KHALIFAH UMAR AL-KHATTAB

Beliau juga di lantik sebagai khalifah melalui sistem syura dimana beliau telah dipersetujui olah seluruh kaum muslimin. Beliau telah mengunakan gelaran Amirul Mukminin. Sempena perlantikan dirinya beliau telah berjanji akan menjaga orang ramai dengan penuh kejujuran. Beliau aadalah seorang yang sederhana dalam urusan hidupnya seharian tetapi dapat dedikasikan sepenuh tenaga dalam menjalankan tugas sebagai pemimpin.

Dalam pertadbiranya beliau mengikut sepenuh polisi yang ditinggalkan oleh pemimpin sebelumnya. Justeru itu tidak hairanlah beliau dapat melaksanakan pemerintahanya dalam masa lebih kurang 10 tahun dengan mencapai kecemerlangan dalam semua dasar-dasar disamping dapat dapat mengukuhkan kedudukan kaum muslimin di Madinah.

Oleh itu banyak pengkaji –pengkaji sejarah mengakui zaman pemerintahan beliau sangat menyerlah sehingga dikenali sebagai “Golden Age”. Terdapat pelbagai kemajuan yang dicapai oleh beliau antaranya ialah:

Pendidikan

Beliau telah menubuhkan “kuttab”dimana pendidikan yang dititik beratkan ialah membaca dan menulis,membaca al-quran dan menghafalnya,belajar mengambil wudhuk,solat dan puasa. Selain itu beliau juga memperkenalkan mata perlajaran berenang,memanah,menunggang kuda,serta menghafal syair,madah dan peribahasa.


Sementara itu pula diperingkat yang lebih tinggi diajar al-quran dan hadis,tafsir serta pelajaran yang berhubung dengan tasyri.

Beliau juga mewajibkan umat islam merpelajari sekurang-kurangnya 5 surah daripada al-quran iaitu surah al-baqarah,al-nisa,al-maidah,al-haj dan al-nur kerana surah-surah itu mengandungi perintah-perintah dan arahan-arahan Allah S.W.T.

Beliau juga mewajibkan menghafal al-quran. Selain itu beliau juga mengutuskan beberapa orang sahabat seperti Abu Darda,Abdul Rahman bin Maqal dan Abdul Rahman bin Ghuman ke wilayah-wilayah lain sekitar Madinah untuk mengajar bagi membolehkan penduduknya bermuamalat secara islam. Sementara itu Abu Sufyan ditugaskan untuk mengajar al-quran kepada orang-orang Badwi.

Politik

Gerakan untuk memperluaskan wilayah berlaku dengan pesat dan berjaya hingga meliputi Afrika Utara,Asia Timur dan Khurasan. Bagi memudahkan pentadbiranya beliau telah membahagikan kapada lapan wilayah iaitu Madinah,Mekah,al-Jazirah,Basrah,Kufah,Mesir dan Palestin.

Dimana setiap wilayah di tadbir oleh seorang gabenor yang dibantu oleh seorang setiausaha(al-khatib),ketua tentera,pemunggut cukai(sahib al-Kharaj),pegawai polis,pegawai perbendaharan dan hakim. Walaubagaimanapun ada wilayah yang ditadbir terus oleh beliau dari Madinah.

Sistem politik yang di zaman Khulafa’ Al-rasyidin dalah dilakukan mengikut beberapa cara dan sistem. Misalnya khalifah yang dilantik adalah berdasarkan pemilihan orang ramai melalui sistem syura. Mereka adalah terdiri daripada orang yang benar-benar berkelayakan memegang jawatan berkenaan. Seorang khalifah yang dilantik hendaklah meliputi orang islam yang mempunyai akhlak yang mulia,beriman,cekap,adil serta tabah dalam menghadapi segala cabaran yang datang.

Tugas sebagai seorang khalifah kepada sesebuah negara islam adalah menjalankan tanggungjawab seperti melaksanakan hukum-hakam yang di kehendaki oleh islam. Selain itu mengawal keamanan kesejahteraan serta keselamatan negara. Melaksanakan bentuk pertadbiran yang adil bagi menjamin hak-hak terhadap individu dan masyarakat.

Bentuk pentadbiran yang dilakukan adalah berdasarkan al-quran dan as-sunnah. Sementara itu masjid dijadikan pusat pentadbiran di samping menjadi pusat ibadat dan penkembangan kegiatan dakwah islamiah. Dasar pemerintahan adalah berdasarkan musyawarah dan mendapat persetujuan ramai. Khalifah yang di lantik dengan persetujuan ramai dari kalangan orang yang berkelayakan yang mempunyai sifat-sifat amanah,bijak,adil,dan bertakwa kepada Allah S.W.T.

Oleh itu apabila khalifah dilantik mereka hendaklah menjalankan tanggungjawab dengan penuh dedikasi,menyusun pentadbiran dengan lebih tersusun dan mengadakan berbagai usaha untuk kesejahteraan rakyat.

Bagi memudahkan pertadbiran negara mereka telah meembahagikan negara kepada beberapa wilayah dan melantik seorang gabenor untuk mentadbir wilayah-wilayah tersebut
Untuk menjamin kesejahteran,keselamatan dan keamanan negara dari ancaman musuh,pertahanan negara diperkuatkan dengan melatih anggota tentera dengan pelbagai teknik peperangan.


Menubuhkan Jabatan

Memandangkan negara islam semakin meluas dengan pengaruhnya dan hasil perhatian khalifah umar terhadap keperluan rakyat,masyarakat dan negara,beliau telah menubuhkan satu institusi baru iaitu “Dewan”atau dikenali sebagai “Jabatan”. Sejarah telah mencatatkan khalifah umar adalah orang yang petama meletakan asas bagi sistem pentadbiran yang lebih tersusun dengan memperkenalkan sistem jabatan.

Hari ini sistem-sistem ini diikuti dengan meluas diseluruh dunia malah masyarakat barat pun turut meniru sistem-sistem tersebut pada abad ke-19 dan 20 dan digunakan sampai hari ini. Antara jabatan-jabatan tersebut adalah:

· Jabatan Tentera
· Jabatan Ganjaran dan Pengagihan
· Jabatan Cukai
· Jabatan Pos

Beliau mendapat idea untuk menubuhkan jabatan –jabatan tersebut dicadangkan oleh Hisyam bin al-Qalid bin al-Mughirah dan seorang dari pemimpin parsi yang menganut agama islam setelah melihatnya pernah dilaksanakan oleh pemerintah-pemerintah Parsi yang berjaya menyelesaikan banyak masalah yang timbul di Parsi.


Khalifah Umar turut memberi perhatian serius terhadap kepada Jabatan tentera(Dewan al-Junud). Ini disebabkan sebahagian besar masyarakat terlibat dalam aktiviti ketenteraan samaada secara tetap atau sukarela. Unit-unit tentera terdiri dari pasukan berkuda,berjalan kaki,perkhidmatan peninjau dan peninjau sayap belakang.

Di dalam melaksanakan sistem-sitem ini agar berkesan pusat-pusat tentera didirikan di Madinah,Basrah,Mushal,Fustat,Damsyik,Jordan dan Palestin. Mereka bertugas bukan sahaja untuk memastikan negara isl; am tidak diserang tetapi juga menghapuskan apa saja pemberontakan yang timbul di dalam negara. Pegawai-pegawai yang dikenali sebagai Qaid,Amir dan ketua turus angkatan tentera. Banyak kemudahan yang disediakan seperti rumah-rumah untuk tentera yang dibina di Kufah,Basrah, dan Fustat. Manakala gaji yang diperuntukan untuk seorang tentera ialah sebanyak 600 dirham setahun disamping elaun dan sumbangan kepada setiap anggota tentera dan kerluarga mereka dan setiap satu bala tentera akan disertai oleh seorang pegawai tentera yang

turut merangkap sebagai seorang akauntan,qadi,dan doktor. Contohnya semasa berlakunya peperangan Qasidiah Abdul Rahman bin Rabitah ditugaskan sebagai seorang qadi sementara itu Ziyad bin Abu Sufyan ditugaskan sebagai seorang akauntan.

Sosial

Secara keseluruhanya hasil daripada pungutan cukai yang sistematik dapat membantu khalifah menyediakan pelbagai kemudahan asas kepada rakyat seperti sistem peparitan,jalan raya dan perigi. Manakala sistem Usyur juga diperkenalkan,hasilnya masyarakat islam di zaman syaidina Umar telah dapat menikmati satu tahap yang lebih sempurna dan selesa dan membanggakan masyarakat islam.

Sementara itu rakyat diberi kebebasan untuk menganut agama dan kepercayaan dan mengamalkan ajaran agama mereka. Mereka juga boleh memberi dan berkongsi pendapat untuk kebaikan bersama. Sementara itu khalifah bertindak adil terhadap individu dan masyarakat tanpa mengira agama,keturunan,dan darjat.

Kaum dan kabilah yang hidup dalam negara islam diperdamaikan supaya mereka hidup sebagai satu ummah. Jurang perbezaan antara orang miskin dan orang kaya dirapatkan supaya mereka sama-sama menikmati hasil kekayan negara. Sementara orang –orang yang lemah didalam masyarakat seperti anak-anak yatim,wanita dan orang-orang tua dibantu supaya mereka dapat menjalani kehidupan yang sempurna dan harmoni.


KEMAJUAN TAMADUN DI ZAMAN KHALIFAH UTHMAN BIN AFFAN

Semasa pemerintahan Khalifah Uthman tidak banyak perubahan yang dapat dilakukan. Kebanyakan perkara yang dilakukan mengikut apa yang di tinggalkan oleh Khalifah sebelumnya. Walau bagaimanapun sumbangan yang paling besar adalah beliau telah melakukan perubahan dengan melaksanakan sistem penulisan al-quran yang lebih sistematik.

Beliau telah melaksanakan sistem ini kerana disebabkan pada masa itu ramai orang islam iaitu terdiri daripada penghafal-penghafal al-quran telah berpindah ke negeri yang baru dibuka oleh orang-orang islam seperti di Mesir, Syria, Iraq, Armenia dan Azerbaijan. Oleh itu timbul masalah dalam pembacaan dan sebutan al-quran sebagaimana yang disebut oleh Huzaifah al-Yaman seorang pegawai tentera islam di Armenia kepada Khalifah di Madinah.

Oleh yang demikian beliau telah memerintahkan Zaid bin Thabit, Abid bin al-As, Abdullah bin Zubayr dan Abdul Rahman bin al-Harith supaya membukukan al-quran dan menyalinkan berpandukan kepada bacaan-bacaan pembaca yang terkenal. Sebanyak 6 salinan telah dikirimkan ke Mekah, Basrah, Kufah dan Syria. Manakala terdapat dua buah lagi telah disimpan oleh beliau di Madinah, tujuanya adalah satu untuk kegunaan negara manakala satu lagi untuk kegunaan Khalifah.

Semua orang islam di wilayah-wilayah islam diperintahkan membaca al-Quran mengikut bacaan yang telah ditetapkan. Sumbangan beliau terhadap perkara ini sangat berharga dari dulu hingga sekarang, di mana sistem pembacaan masih diikuti oleh umat islam pada masa kini.

Melaui pembacaan al-quran orang islam dapat menbangunkan diri, masyarakat, negara dan melaksanakan tanggungjawabnya sebagai hamba Allah S.W.T. Selain itu al-Quran dapat menbentuk peribadi yang baik dan akhlak yang mulia serta terpuji. Ilmu yang diperolehi daripada al-quran dapat digunakan untuk memajukan alam dan mengambil manfaat daripadanya untuk mencapai keamanan dan kesejahteraan hidup.

Apabila seseorang itu berilmu dia akan dapat mengetahui kebesaran dan kekuasaan Allah S.W.T yang akan menbentuk diri kepada ketakwaan dan keimanan yang tinggi kepada-NYA. Dengan memahami isi kandungan al-quran seseorang dapat menangkis gejala-gejala buruk seperti pecah amanah, penyelewengan, permusuhan kaum,penyalahan kuasa, jenayah dan mementingkan diri sendiri.

------------------------------------

KEMAJUAN TAMADUN DIZAMAN KHALIFAH ALI BIN ABI TALIB

Pemerintahan beliau masih mengikut dasar-dasar pemerintahan terdahulu di mana beliau juga dilantik mengikut sistem syura. Semasa pemerintahan Khalifah Ali tidak banyak yang dapat dilakukan kerana pada masa itu beliau sibuk menghapuskan pemberontakan yang timbul. Pemberontakan ini timbul kerana ada pihak-pihak tertentu yang mahukan beliau menghukum mereka yang terlibat dalam pembunuhan Khalifah Uthman.

Beliau masih meneruskan cara pemerintahan yang dilakukan oleh pemimpin yang terdahulu. pemerintahan beliau masih berpegang teguh kepada al-quran dan al-sunnah dimana perkara-perkara yang dilaksanakan adalah tidak mengikut pandangan diri sendiri tetapi menerima pandangan orang lain melalui sahabat –sahabat ataupun pandangan masyarakat islam.

Beliau sentiasa berfikiran terbuka dalam menerima pendapat dan cadangan orang lain dan mengambil berat terhadap masyarakat sekeliling dan memberi bantuan sekiranya terdapat orang islam yang di dalam kesusahan. Beliau juga mengambil berat tentang masyarakat yang bukan beragama islam. Namun begitu, semasa pemerintahan Khalifah Ali, perluasan kawasan terhenti berikutan negara kurang aman kerana pembunuhan Saidina Uthman bin Affan.

Antara polisi pentadbiran Khalifah Ali bin Abi Talib ialah beliau menukarkan pegawai-pegawai lantikan Khalifah Uthman yang berketurunan Umayah dengan pegawai-pegawai baru termasuk Muawiyah bin Abu Suffian ( gabenor Syam ). Beliau juga meneruskan Majlis Tahkim walaupun mendapat tentangan daripada golongan Khawarij. Kesimpulannya, jasa Khalifah Ali bin Abi Talib ialah menerima jawatan ini dalam keadaan negara huru-hara.

                              SUMBANGAN KHALIFAH ALI BIN ABI THALIB

1.SANGGUP MENERIMA JAWATAN KHALIFAH DALAM KEADAAN KEGOYAHAN
Beliau sanggup menerima jawatan pemimpin tertinggi kerajaan Islam pada ketika itu walaupun pada masa itu berlaku kegoyahan di mana bermulanya titik pertukaran politik negara Islam yang bercelaru apabila ramai pihak yang berebut untuk berkuasa dan menjadi ketua. Saidina Ali bin Abi Talib telah berusaha bersungguh-sungguh sehingga dibunuh hanya kerana untuk mengekalkan keamanan dalam negara Islam yang telah dibina oleh junjungan mulia Nabi Muhammad.

2.Menghentikan Peperangan Di Antara Umat Islam
●Beliau juga bermati-matian dalam usahanya untuk mengekalkan kestabilan dan keharmonian negara. Misalnya dalam satu peperangan saudara; iaitu Perang Sifin, walaupun tenteranya hampir mencapai kemenangan dalam peperangan terebut tetapi disebabkan ada dalam kalangan pihak musuh yang rela mengangkat al-Quran, maka beliau sanggup menghentikan peperangan tersebut dan memulakan proses perundingan.

3.Membina Markas Tentera Di Parsi Dan Syria.
Biarpun mengutamakan keharmonian dan kedamaian, Saidina Ali bin Abi Talib juga tidak melupakan soal pertahanan negaranya. Buktinya, beliau telah membina markas tentera di Parsi dan di sempadan Syria.

4.Meneruskan Cukai Jizyah Kepada Zimmi.
Untuk mengembangkan sistem ekonomi negara, kutipan jizyah diteruskan. Perkara ini dinyatakan dalam surat yang dihantarkan kepada alAsytar. Khalifah Ali meminta beliau mengikat perjanjian dengan golongan zimmi untuk mengenakan jizyah kepada mereka.

ﷺ Khalifah Saidina Abu Bakar As-Siddiq

     Abu Bakar As-Siddiq merupakan salah seorang Khulafa' Ar-Rasyidin daripada empat orang khalifah. Beliau juga adalah orang yang paling awal memeluk agama Islam (assabiqunal awwalun), dan juga merupakan sahabat kepada Rasullullah Saw. Beliau dilahirkan pada tahun yang sama kelahiran Nabi Muhammad Saw. iaitu pada 572 Masihi di Mekah. Khalifah Abu Bakar berasal dari keturunan Bani Taim, suku Quraisy. Nama asalnya adalah Abdullah Ibni Abi Quhaafah. Berdasarkan beberapa sejarawan Islam, beliau pernah menjadi seorang pedagang, hakim dengan kedudukan tinggi, seorang yang terpelajar serta dipercayai sebagai orang yang mampu menafsirkan mimpi.

     Khalifah Saidina Abu Bakar mempunyai anak bernama Aisyah yang juga merupakan isteri Nabi Muhammad SAW. Beliau diberi gelaran As-Siddiq oleh Nabi Muhammad SAW kerana setiap kata-katanya adalah benar dan boleh dipercayai. Menjadi antara orang yang pertama memeluk Islam, banyak cubaan dan dugaan yang dilaluinya namun beliau tetap setia menemani dan bersama Rasulullah SAW menjadi satu-satunya teman hijrah ke Madinah pada 622 Masihi.


     Semasa Rasulullah SAW sedang sakit tenat, baginda mengarahkan supaya Saidina Abu Bakar mengimamkan solat orang Islam. Selepas kewafatan Nabi Muhammad SAW, sebuah majlis iaitu Majlis Musyawarah yang dihadiri oleh golongan Ansar dan Muhajirin ditubuhkan untuk melantik seorang khalifah bagi memimpin umat Islam. Hasil daripada perjumpaan itu, Saidina Abu Bakar dilantik dan menjadi khalifah pertama umat Islam. Perlantikan Saidina Abu Bakar mendapat tentangan daripada beberapa orang yang ingin melantik Saidina Ali Abi Talib sebagai khalifah kerana Saidina Ali merupakan menantu dan anak saudara Rasulullah SAW. Golongan Syiah yang merupakan golongan daripada keluarga Bani Hashim menentang perlantikan Saidina Abu Bakar. Tentangan itu tamat selepas Ali bin Abi Thalib menyatakan bahawa beliau setia dan mendukung Saidina Abu Bakar sebagai khalifah.

     Beliau menjadi khalifah selama 2 tahun iaitu pada 632-634 Masihi. Saidina Abu Bakar meninggal dunia pada tanggal 23 Ogos 634 di Madinah. Beliau dimakamkan di samping makam Rasullullah Saw. Seterusnya posisi khalifah digantikan oleh Umar bin Khatab. Beliau pernah menjadi kaya, beliau juga dikenang jasanya kerana membebaskan beberapa hamba yang beragama Islam daripada tuan mereka yang kafir termasuklah Bilal Bin Raabah.

ﷺ Khalifah Saidina Umar Bin Khattab

     Umar bin Al-Khattab adalah salah seorang sahabat nabi dan khalifah kedua setelah wafatnya Khalifah Abu Bakar As-Siddiq. Beliau dilahirkan di Mekah Al-Mukarramah dari keturunan Bani Adi dan kaum Quraisy dengan nama lengkapnya Umar bin Al-Khattab bin Nafail bin Abdul Uzza. Beliau dilahirkan pada 584 Masihi iaitu 13 tahun selepas kelahiran Rasulullah SAW. Ibunya pula bernama Hantamah Binti Hasyim Bin Al-Mughirah. Pada tahun ke enam selepas kerasulan Nabi, Saidina Umar yang berumur 27 tahun ketika itu telah memeluk Islam dan menjadi tonggak kekuatan umat Islam pada. Tindakannnya ini mengemparkan masyarakat Quraisy dan memberi berita gembira kepada umat Islam bahawa Islam akan menjadi kuat. Seperti Saidina Abu Bakar, Saidina Umar juga mempunyai gelarannya sendiri iaitu Al-Faruq yang bermaksud pemisah antara hak dengan batin.


     Semasa sebelum memeluk Islam, beliau merupakan duta bagi kaumnya terutama untuk mengadakan perundingan antara kabilah yang bermusuhan. Beliau merupakan mertua Rasulullah SAW apabila Rasulullah bernikah dengan anaknya, Hafsah binti Umar. Beliau salah seorang yang dijamin Syurga oleh Rasulullah SAW. Di rumah, Umar menjumpai saudaranya sedang membaca ayat-ayat Al Quran dan salah satunya ialah Surah Thoha. Beliau menjadi marah akan hal tersebut lalu memukul saudaranya. Ketika melihat saudaranya berdarah kerana pukulannya, beliau menjadi hiba, dan kemudian meminta agar bacaan tersebut dapat dilihat. Beliau kemudian menjadi sangat terpegun oleh isi Al Quran dan kemudian terus memeluk Islam pada hari itu juga.

     Pada masa Saidina Abu Bakar menjadi khalifah, Saidina Umar merupakan salah satu penasihat kepalanya. Ketika Saidina Abu Bakar sedang sakit, beliau telah mencadangkan Saidina Umar sebagai pengganti beliau. Cadangan itu telah mendapat persetujuan daripada para sahabat dan orang ramai. Setelah meninggalnya Abu Bakar pada tahun 634 Masihi, Saidina Umar telah memerintah selama 10 tahun 6 bulan selepas itu. Beliau wafat pada bulan Zulhijjah tahun 23H ketika berumur 63 tahun setelah ditikam oleh Abu Lu'luah seorang yang berbangsa Parsi dan beragama Majusi. Beliau dimakamkan berhampiran dengan Makam Rasulullah SAW dan Saidina Abu Bakar di Madinah.


Umar Sebagai Orang Yang Pertama
1. Pertama digelar Amirul Mukminin
2. Pertama menggunakan Hijrah sebagai kalendar Islam
3. Pertama mengenakan pukulan 80 kali ke atas peminum arak
4. Pertama mengharamkan nikah mut'ah
5. Pertama mewajibkan zakat ke atas kuda
6. Pertama menubuhkan jabatan-jabatan
7. Pertama sunatkan Qiyyam Ramadhan
8. Pertama mengarahkan solat Jenazah berjemaah dengan 4 takbir
9. Pertama memperkenalkan Al-'Aul dalam masalah Faraid (harta pusaka)

ﷺ Khalifah Uthman Bin Affan

          Nama penuh Saidina Uthman ialah Uthman Bin Affan Bin Abu Al-As Bin Ummayah Bin Abdu Syams Bin Abdu Manaf Bin Qusai. Beliau dilahirkan setelah 5 tahun kelahiran Nabi iaitu pada 576 M di Mekah al-Mukarramah dan memeluk Islam melalui Saidina Abu Bakar. Saidina Uthman dilantik menjadi khalifah ketiga pada 644 M bersamaan 23 H melalui Majlis Syura di mana Saidina Umar telah mencalonkan beberapa orang sahabat sebagai khalifah dan pemilihan sahabat yang paling layak adalah ditentukan oleh Majlis Syura. Para sahabat telah membuat pertimbangan di antara Saidina Ali dan Saidina Uthman dan akhirnya Saidina Uthman telah dipilih sebagai khalifah.

          Pelantikan Saidina Uthman dibuat berdasarkan faktor usia yang lebih tua, kesanggupan Saidina Uthman sendiri untuk menerima jawatan khalifah dan juga kerana sahabat tidak mahu meneruskan jawatan khalifah daripada keturunan Bani Hashim bagi mengelakkan jawatan khalifah dianggap bersifat warisan keturunan.

          Saidina Uthman telah memerintah selama 12 tahun. 6 tahun pertama pemerintahannya, negara berada dalam keadaan aman tetapi 6 tahun kemudiannya adalah zaman yang penuh dengan masalah dan penentangan terhadap pemerintahannya. Beliau telah wafat akibat dibunuh oleh puak pemberontak yang diketuai oleh al-Asytar pada 18 Zulhijjah tahun 35 H. Mereka telah mengepung rumahnya selama kira-kira 40 hari. Pada ketika itu Saidina Uthman berusia 82 tahun. Jenazahnya telah dimakankan di perkuburan al-Baqi'. Madinah.

ﷺ Khalifah Ali Bin Abi Thalib

          Nama penuh Khalifah Ali ialah Ali bin Abi Talib bin Abdul Mutalib bin Hasyim. Beliau dilahirkan pada tahun ke sepuluh sebelum kerasulan Nabi Muhammad SAW di Mekah. Beliau juga merupakan kanak-kanak pertama memeluk Islam ketika berusia 10 tahun. Beliau adalah sepupu dan juga menantu Rasulullah SAW. Bersifat berani, tegas dan menguasai pelbagai ilmu dengan mendalam. Khalifah Ali didoakan dengan lafaz Karamallahu wajhah (orang yang dimuliakan wajahnya) oleh Allah kerana tidak pernah menyembah berhala. Beliau merupakan khalifah ke empat dan terakhir dalam pemerintahan Khulafa’ Ar-Rasyidin (35 Hijrah- 40 Hijrah / 656 Masihi – 661 Masihi).

          Setelah kewafatan Khalifah Uthman bin Affan berlaku pergolakan dalam kalangan umat Islam untuk menentukan bakal khalifah seterusnya. Madinah pada masa ini dikuasai pemberontak.Penduduk Mesir cadangkan Saidina Ali tetapi penduduk Basrah cadangkan Talhah bin Ubaidillah dan penduduk Kufah menginginkan Zubair Al Awwam sebagai khalifah.Musyawarah terpaksa diadakan dan keputusannya Saidina Ali bin Abi Talib dibaiah sebagai khalifah pada 25 Zulhijjah. Pada awalnya, beliau menolak pelantikan itu, namun atas desakan para sahabat, akhirnya beliau menerima cadangan itu

          Saidina Ali telah memerintah selama 5 tahun dalam suasana yang penuh dengan konflik politik. Beliau wafat pada 17 Ramadhan 40H kerana dibunuh oleh Abdul Rahman Bin Majlam daripada golongan Khawarij yang telah membuat pakatan sulit untuk membunuhnya. Jenazah beliau telah dimakamkan di Kufah, Iraq.